Sabtu, 7 Mei 2011

"Petua memilih kenderaan"

Hadis Rasulullah SAW di atas menjelaskan unsur-unsur kebahagiaan dalam diri seseorang. Seseorang
lelaki yang mempunyai isteri solehah atau seorang perempuan yang mempunyai suami yang soleh,
mereka mempunyai rumah yang selesa untuk didiami, mempunyai jiran yang baik untuk berinteraksi
dalam kehidupan seharian dan mempunyai kenderaan yang selesa dan tidak berlaku masalah atau
kerosakan ketika dalam perjalanan adalah orang yang bahagia dalam hidupnya.

Dalam hadis itu juga, baginda menyenaraikan memiliki kenderaan yang selesa yang boleh digunakan
tanpa memberikan masalah adalah salah satu daripada tanda kebahagiaan.
Justeru seseorang itu perlu mempunyai perancangan yang betul dan tepat untuk membeli kenderaan
agar ia benar-benar memberi kebahagiaan dan bukannya menambah pening kepala.
Kenderaan yang dimiliki menerusi kaedah pemilikan yang betul diiktiraf sebagai harta kepada individu
yang memilikinya. Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah.
Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.
Dalam kacamata Islam, harta adalah alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan
kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa.
Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau
sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Anfaal ayat 28 yang bermaksud: Dan
ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah
pahala yang besar. 

Untuk memiliki sebuah kenderaan seseorang perlu mempunyai sejumlah wang yang mencukupi. Untuk
memiliki wang yang cukup seseorang itu perlu mempunyai perancangan yang betul dalam menguruskan
kewangannya.
Perancangan yang betul dalam menguruskan kewangan akan membantu seseorang itu memperolehi
gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan terkininya, memberi hala tuju yang tepat mengenai
matlamat kewangan yang ingin dicapai yang akhirnya akan membolehkannya mencapai matlamat yang
diharapkan secara lebih efektif.
Bijaksana dalam menguruskan keperluan hidup dengan memahami keutamaan (aulawiyat) menjadi asas
penting seseorang itu akan dapat menikmati kebahagiaan hakiki.
Dalam memiliki harta Islam amat menitikberatkan bagaimana harta itu diperolehi. Ia hendaklah
menerusi kaedah pemilikan yang sah seperti menerusi jual beli, hadiah, sedekah dan sebagainya.
Maka dalam konteks ini, perkara utama dan pertama yang perlu diberikan perhatian oleh setiap individu
yang hendak membeli kenderaan ialah memastikan kaedah pemilikannya mestilah menerusi kaedah
yang betul dan disahkan oleh Islam.
Pembelian dengan mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan adalah kaedah yang popular
berbanding dengan pembelian tunai khususnya yang berkaitan dengan pembelian kereta.
Bagi seorang pembeli muslim memilih pembiayaan secara Islam adalah satu kewajipan. Sebabnya
kaedah pinjaman membeli kenderaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan konvensional
mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti riba.

Riba haram di sisi Islam dan ia dikategorikan sebagai salah satu daripada dosa besar seperti sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: Jauhilah tujuh dosa besar, syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan
harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan
yang suci dengan zina (tanpa saksi adil). (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Allah SWT menyifatkan mereka yang enggan meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan
sengaja, berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman-Nya
yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan
tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, jika kamu tidak meninggalkannya,
isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278 ).
Dosa riba ini kesannya bukan hanya ke atas orang Islam sahaja malah bahangnya turut menimpa orang
bukan Islam kerana riba itu jelas satu bentuk penindasan dan kezaliman. Sehingga wajarlah Allah
memberi pelbagai ancaman, antaranya adalah dengan azab yang pedih, sebagaimana firman-Nya dalam
surah al-Baqarah ayat 275.
Nabi SAW juga sangat keras ancamannya terhadap dosa riba antaranya baginda bersabda ertinya: "Riba
mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya"
(Riwayat Ibn Majah).
Membeli kenderaan baru atau terpakai memerlukan seseorang itu membuat perancangan. Namun tidak
ramai bakal pembeli kereta misalnya yang bersedia membuat perancangan.
Mungkin kerana terlalu gembira dan tidak sabar-sabar untuk memiliki kenderaan sendiri membuatkan
seseorang tidak begitu memberi perhatian kepada aspek-aspek penting sebelum membeli sebuah
kereta.
Malah ada yang berpandangan kenapa perlu menyusahkan diri membuat perancangan, yang penting
dapat kereta seperti yang diidamkan. Walau apa pun alasan, perancangan adalah satu perkara yang
tidak boleh diabaikan sebagaimana pepatah "jika gagal merancang, seseorang itu merancang untuk
gagal".
Berikut antara panduan mudah sebelum seseorang membuat keputusan adalah pemilihan model kereta.
Jangan memilih model-model yang pelik, yang jarang digunakan kerana model-model berkenaan
kemungkinan sukar dijual semula, nilai jual semula yang rendah, kemungkinan alat gantinya susah serta
mahal untuk mendapatkannya dan kemungkinan kos menyelenggara juga tinggi.

Nilai
Pilihlah model yang banyak digunakan dan yang mempunyai nilai jual semula yang tinggi.
Perkara keduanya ialah berkaitan dengan harga, bayaran muka dan jumlah bayaran bulanan. Aspek ini
penting untuk memastikan kenderaan berkenaan mampu dimiliki, dapat membuat analisis beban
kewangan yang bakal ditanggung dan dapat memilih institusi yang menawarkan kemudahan
pembiayaan yang kompetitif.
Aspek seterusnya adalah yang berkaitan dengan perundangan dan segala dokumentasi yang berkaitan.
Ini bagi memastikan bakal pembeli memahami hak dan tanggungjawab dari sudut undang-undang
apabila membuat pembiayaan agar tidak timbul masalah di kemudian hari.
Aspek ini juga banyak yang ambil mudah, tidak ramai yang membaca dan cuba memahami segala butirbutir
yang tercatat dalam semua dokumen pembiayaan.
Walau excited atau apa pun alasannya, bakal pembeli perlu faham, jelas dan tahu akan hak dan
tanggungjawabnya, sebelum menandatangani sebarang perjanjian.
Dalam konteks Sistem Kewangan Islam di Malaysia, institusi kewangan Islam tidak ketinggalan
menawarkan kemudahan pembiayaan membeli kenderaan khususnya kereta.
Ada dua kaedah pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam iaitu Bai Bithaman Ajil (BBA)
dan Al Ijarah Thumma Al Bai (AITAB). Kaedah pembiayaan menerusi kaedah AITAB lebih popular
berbanding BBA.
AITAB atau sewa kemudian jual lazimnya digunakan dalam membiayai barangan pengguna terutamanya
pembiayaan kenderaan. Terdapat dua kontrak berasingan yang terlibat: kontrak Ijarah
(pajakan/penyewaan) dan kontrak Bai' (jual beli). Kontrak-kontrak tersebut akan dimeterai secara
berasingan dengan turutan yang betul.
Tujuan AITAB adalah membantu pelanggan mendapatkan aset yang dikehendaki dan mendapatkan
wang tunai.
Menerusi AITAB ini sebagai contoh pelanggan akan memilih kereta yang ingin dibeli. Kemudian,
pelanggan berkenaan memohon pembiayaan Ijarah untuk kereta tersebut daripada institusi kewangan,
pelanggan biasanya membayar deposit kereta berkenaan dan berjanji akan memajak kereta tersebut
daripada bank setelah bank membeli kereta tersebut.
Pihak institusi kewangan akan menjelaskan pembayaran kereta berkenaan kepada penjual. Setelah itu,
penjual akan memindahkan hak milik kereta berkenaan kepada pihak bank. Kemudian pihak bank akan

memajakkan kereta tersebut kepada pelanggan untuk tempoh yang dipersetujui.
Pelanggan akan membayar sewa ijarah untuk satu tempoh yang telah ditetapkan. Pada akhir tempoh
pajakan, bank akan menjual kereta tersebut kepada pelanggan pada harga yang telah dipersetujui.
Kaedah BBA pula ialah tidak jauh bezanya dengan pembiayaan untuk membeli rumah. Mekanisme
operasi BBA ialah pembeli memilih kenderaan yang ingin dibeli, kemudian pembeli mendapatkan
pembiayaan BBA daripada bank dan berjanji akan membeli aset tersebut pada harga jualan.
Pihak bank akan membeli kenderaan tersebut daripada penjual secara tunai dan kenderaan tersebut
telah menjadi hak milik pihak bank. Selepas itu pihak bank akan menjual kenderaan berkenaan kepada
pembeli berdasarkan harga jualan yang telah termasuk keuntungan yang telah dipersetujui.
Hak milik kenderaan tersebut berpindah kepada pembeli dan pihak pembeli akan membayar harga
jualan kepada bank secara ansuran di dalam tempoh yang telah dipersetujui.
Semua kenderaan berenjin di negara ini diwajibkan memiliki perlindungan insurans atau takaful sama
ada perlindungan komprehensif atau sekurang-kurangnya perlindungan pihak ketiga.
Tidak memiliki perlindungan insurans atau takaful merupakan satu kesalahan undang-undang.
Janganlah kita semua tertipu dengan banyaknya bank-bank riba, jangan pula tertipu dengan tersebarnya
muamalah riba ini di setiap tempat, serta banyaknya orang yang bermuamalah bersamanya, kerana
yang demikian bukanlah dalil akan bolehnya muamalah ini. Akan tetapi itulah sebenarnya adalah dalil
yang menunjukkan banyaknya orang yang berpaling dari perintah Allah serta menyelisihi syariat-Nya.. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan